Madu adalah salah satu penawar yang tertua di dunia. Walaupun rasanya
manis, ia mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat untuk manusia.
Madu mempunyai 1,001 kebaikan dan khasiat. Tidak dinafikan madu
sangat baik untuk sistem badan kita. Namun, sejauh manakah kita tahu
khasiat madu?
Khasiat madu lebah bagi tujuan perubatan sememangnya diketahui umum.
Hari ini madu lebah dianggap penting dalam industri penjagaan kesihatan
yang meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
Menurut Dr Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains
Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), madu mengandungi
pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin,
ribotlorina dan asid pontohenic.
Secara semula jadi, madu berkhasiat dan mengandungi gula seperti
fruktus dan glukos selain mineral seperti magnesium, kalium, kalsium,
natrium klorida, sulfur, besi dan fosfat. Ia juga mengandungi vitamin
B1, B2, C, B6, B5 dan B3.
Berikut adalah beberapa kebaikan madu yang boleh kita peroleh:
Melegakan sakit tekak dan batuk
Sejak beribu-ribu tahun lamanya, madu sering dikenali sebagai
penawar semula jadi untuk mengurangkan sakit tekak dan batuk. Ini kerana
madu mempunyai sifat antibakteria yang mampu menghalang jangkitan
bakteria dan mengurangkan kesakitan.
Merawat luka dan cedera ringan
Sebelum penciptaan peti kecemasan atau ‘first aid’, madu sering digunakan untuk merawat luka dan kecederaan ringan.
Dengan sifat antibakteria di dalamnya, madu mampu menghalang
pembentukan bakteria pada kawasan yang cedera dengan berkesan dan
mempercepatkan proses penyembuhan.
Baik untuk sistem pencernaan badan
Masalah kembung perut dan angin sering mengganggu kita. Anda boleh
mengambil madu kerana mempunyai kesan laksatif yang mampu mengelakkan
sembelit dan masalah tidak lawas. Selain itu, madu juga efektif untuk
melegakan sakit perut dengan pengambilan dos tertentu.
Menjadikan kulit lebih cantik
Vitamin dan mineral yang terkandung di dalam madu boleh
mencantikkan, melembap dan menghaluskan kulit. Untuk wanita yang baru
melahirkan anak, mereka disyorkan mengambil madu bagi menganjalkan
kembali tubuh supaya kelihatan lebih cantik seperti sedia kala.
Kegunaan lain
Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, madu boleh melebatkan
rambut, membunuh kutu dan menghilangkan kelemumur. Jika digunakan untuk
menggosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilatkan gigi.
Bahan aktif di dalam madu yang dipanggil eucalyptol mampu bertindak
sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat.
Kebaikan madu dari sudut perubatan Islam
Madu memang dijadikan ubat dalam perubatan Islam berdasarkan dalil di dalam al-Quran dan hadis Nabi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada
lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di
pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh
manusia,” (Al-Nahl 16:68)
Sabda Rasulullah SAW “Barang siapa minum madu setiap bulan dengan
niat mengikut nasihat al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya
daripada 77 penyakit.
“Barang siapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu.
“Sebaik-baik minuman ialah madu kerana ia dapat memusatkan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada”.
Seperti perubatan moden, kaedah mengambil madu perlu diambil
mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit dialami. Jika dosnya
kurang, ia tidak mengurangkan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia
boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.
Untuk kes tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah SWT.
Dengan manfaat dan amalan perubatan dari dunia moden dan alternatif
seperti perubatan Islam, madu tidak syak lagi adalah makanan yang
bermanfaat untuk kesihatan kita. Inilah masanya kita mendapatkan
kebaikan daripada khazanah alam ciptaan Allah SWT yang tidak ternilai
harganya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/11 http://www.hmetro.com.my
Lain-lain: