Mutiara Kata

"Jangan biarkan perahu hanyut tak berpenghuni nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan".

Mutiara Kata

"Rezeki... ada di mana2, datang tanpa diduga, tepat pada masa, yg penting, usaha dan tawakkal".

Mutiara Kata

"Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang".

Mutiara Kata

"Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaiannya berkata-kata tetapi juga perlu dinilai buah fikiran serta tingkah lakunya".

Mutiara Kata

"Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman".

Jumaat, 31 Januari 2014

Seorang Isteri Yang Diuji

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.

“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.

“Sudah lama?”

“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.

“Puan rasa kecewa, marah?”

“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”

“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.

“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”

“Puan bertindak?”

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”

“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”

“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”

Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.

“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.

Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,”Jika puan tabah, tenang dan kelihatan ‘steady’, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?”

“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.

Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.

“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.

“Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”

Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar… Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.

“Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang… ujian poligami.”

“Puan tidak rasa dieksploitasi?”

“Oh, tidak, “jawabnya dengan tegas, “ tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri…”

“Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya,” pintas saya.

“Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?” Dia kembali kepada permasalahan asalnya.

“Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan.”

“Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini,” balasnya.

“Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi… apakah penyebabnya poligami?”

“Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz.”

“Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba,  dan sebab-sebab lain yang tidak syar’ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka  tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!”

“Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?”

“Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya.”

“Sunyi juga. Terasa kehilangan.”

“Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!”

“Saya akan kehilangan cinta suami?”

“Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah.”

“Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya ‘pelajar’ yang sedang bermujahadah!”

Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!

“Kekadang datang juga rasa cemburu… bagaimana?” kembali suara itu mengocak lamunan saya.

“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?”

“Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran,  dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu.”

“Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri,” dorong saya.

“Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji,” ujar saya perlahan.

“InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan… jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Saya sebak. Kata-kata yang selalu saya luahkan itu menusuk hati sendiri. Seolah-olah buat pertama kali mendengarnya. Ya, hakikatnya Allah sedang mengingatkan saya ketika mengingatkan orang lain. Tabahkah hati menempuh kehidupan yang tidak akan pernah mudah ini?

~Kiriman emel

Ahad, 26 Januari 2014

Kebaikan Minyak Zaitun

Minyak zaitun memang terkenal dengan khasiatnya. Ia mengandungi kandungan lemak tepu yang rendah dan kandungan lemak mono tepunya jauh lebih tinggi daripada minyak jagung. Penggunaan minyak zaitun dalam masakan dikatakan dapat membuat anda berhenti makan sebelum kenyang. Ini kerana kesan daripada penguraian tenaga minyak zaitun yeng mempunyai banyak kandungan zat bermanfaat. Dengan menggunakan minyak zaitun, anda dapat mengurangkan lemak dalam hidangandi samping ia membekalkan vitamin E yang tinggi untuk anda dan keluarga.


Jumaat, 10 Januari 2014

10 Resepi Berpantang

Masakan makanan berpantang untuk menyembuhkan luka dengan cepat,
tidak memudaratkan kesihatan dan menyihatkan badan selepas melahirkan bayi.

**************************************************************

1. Salmon Panggang Berlada Hitam
Bahan-bahan:
Sekeping salmon bersaiz sederhana
1 sudu teh lada hitam
1/2 inci halia
2 ulas bawang putih
Garam secukup rasa
Sekeping kertas pembalut aluminium foil untuk membalut ikan

Cara-caranya:
1.Bersihkan sekeping ikan salmon
2.Tumbuk kasar lada hitam, halia dan bawang putih dan lumurkan pada salmon tersebut bersama garam.
3.Perapkan kira-kira satu jam sebelum dibungkus dalam kertas pembalut aluminium foil dan dipanggang
dalam kuali sehingga masak.

*Kandungan Omega 3 dan DHA yang tinggi menjadikan susu badan anda berkualiti untuk bayi.
Malah ia kaya dengan protein untuk membina semula tisu badan yang rosak ketika bersalin.

**************************************************************

2.Sambal Bilis Berkunyit
Bahan-bahan:
100 gm ikan bilis
3sm kunyit tua dikisar halus
3sm lempoyang dikisar
2 sudu kecil lada hitam
2 sudu minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1.Goreng ikan bilis dan toskan minyak
2.Tumbuk kasar ikan bilis goreng bersama lada hitam
3.Dengan kuali bersih, tumis bahan yang dikisar hingga naik bau
4.Kemudian, masukkan ikan bilis dan lada hitam yang ditumbuk tadi ke dalam kuali dan gaul rata
5.Sedia untuk dihidangkan bersama ulam-ulaman dan nasi putih.

**************************************************************

3.Lobak Putih Masak Air
Bahan-bahan:
1/2 batang lobak putih bersaiz sederhana
1 sudu teh lada hitam
4 ulas bawang putih
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:
1.Bersihkan lobak dan kupas tipis kulitnya. Hiris nipis supaya mudah di masak dan dimakan
2.Masukkan air di dalam sebuah periuk.
3.Lada hitam dan bawang putih ditumbukdan digaulkan bersama dengan lobak dan air.
4.Masak di atas api yang sederhana dan masukkan garam dan gula secukup rasa sebelum diangkat.

*Lobak putih mampu menambahkan penghasilan susu ibu. Sesuai bagi ibu yang baru bersalin yang berusaha untuk mendapatkan

banyak stok susu perahan untuk si manja selepas kembali bekerja.

**************************************************************

4.Ikan Singgang Halia
Bahan-bahan:
Seekor ikan selar bersaiz sederhana
2 inci halia
4 ulas bawang putih
1 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-caranya:
1.Bersihkan ikan selar
2.Mayang halus halia dan bawang putih yang telah dibuang kulit.
3.Kemudian masukkan ikan ke dalam periuk diikuti dengan halia, bawang putih, air dan garam secukup rasa.
4.Reneh kira-kira selama 30minit sebelum dinikmati.

*Halia bertindak membuang angin di dalam badan dan menjadikan anda berasa lebih segar dan cergas.

**************************************************************

5.Sup Sawi dan Lobak Merah
Bahan-bahan:
1 ikat sawi
1/2 biji lobak merah
1 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:
1.Bersihkan lobak merah dan kupas tipis kulitnya. Potong nipis-nipis agar senang empuk.
2.Bersihkan sawi dan potong daun dan batangnya.
3.Bawang merah dan bawang putih dikupas dan di mayang halus.
4.Masukkan  semua bahan ke dalam periuk dan masak sehingga empuk.
5.Rasakan dengan garan dan gula sebelum diangkat.

*Nutrien dalam sayur-sayuran hijau dapat mengelak mengalami sembelit.

**************************************************************

6.Kerabu Pegaga
Bahan-bahan:
Pegaga secukupnya dan dihiris mengikut selera anda
1 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
1 susu teh lada hitam
50g ikan bilis
1 inci halia muda
1 inci kunyit hidup

Cara-caranya:
1.Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia muda, kunyit hidup, lada hitam sehingga lumat.
2.Goreng semua bahan tadi tanpa minyak. Biarkan sehingga sedikit kering dan angkat.
3.Selepas itu gaulkan bahan-bahan tersebut bersama daun pegaga yang telah dihiris tadi.
4.Sedia untuk dihidang dan sedap dimakan bersama nasi panas.

**************************************************************

7.Daging Lada Hitam
Bahan-bahan:
250 gram daging batang pinang dihiris nipis
1 biji bawang besar (dihiris)
5 ulas bawang dihiris (dihiris)
2 sudu minyak
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk kasar)
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar kicap masin

Cara-caranya:
1.Rebus daging dengan api sederhana hingga empuk. Toskan tetapi jangan buang air rebusan tadi.
2.Panaskan kuali dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.
3.Masukkan daging, kicap manis dan kicap masin serta lada hitam. Gaul rata dan biar seketika.
4.Kemudian masukkan sedikit air rebusan tadi dan biarkan sehingga pekat semula agar daging lebih lembut.
5.Untuk lebih enak, taburkan lada hitam dan siap untuk dihidangkan.

**************************************************************

8.Tumis Sawi Putih
Bahan-bahan:
20 gm ikan bilis
2 sm halia dihiris
2 ulas bawang putih dihiris halus
5 tangkai sawi putih dipotong
2 sudu minyak masak
Garam secukup rasa
1/2 cawan air

Cara-caranya:
1.Panaskan minyak dan tumis bawang putih bersama halia di dalam kuali.
2.Masukkan air, ikan bilis dan sawai. Biarkan mendidih sebentar.
3.Tambah garam secukup rasa. Enak di makan bersama nasi panas.

**************************************************************

9.Teh Halia
Bahan-bahan:
600ml air
4sm halia tua
1/4 ketul gula melaka (kurangkan jika tidak gemar manis)

Cara-caranya:
1.Kupas halia, pecahkan sedikit dan rebus gula melaka bersama air.
2.Biarkan mendidih dan minum sewaktu suam.

*Minuman halia dapat memanaskan badan ibu dan melancarkan perjalanan darah.
Ia juga membantu membuang angin dalam badan.

**************************************************************

10.Jus Pegaga
Bahan-bahan:
20 tangkai pegaga
4 gelas air
2 ketul gula batu (kecil)

Cara-caranya:
1.Rebus pegaga bersama air dan gula batu.
2.Biarkan sehingga tinggal separuh atau kira-kira 2 gelas.
3.Minum sewaktu suam segelas waktu pagi dan petang.

*Pegaga mempunyai pelbagai khasiat antaranya dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka terutama bersalin.