السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Ra – Mim – Dhod – Alif – Nun ( رمضان )
Tersirat daripada perkataan huruf RA-MA-D-A-N
Ra – adalah Rahmah
Bulan Ramadhan adalah bulan rahmah. Didalamnya dilimpahi dengan
pelbagai kerahmatan dan kenikmatan yang tidak terhitung untuk
hamba-hamba Allah SWT dan seluruh manusia.
Mim – adalah Maghfirah ( Keampunan)
Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan. Allah SWT membuka ruang dan
pintu keampunan seluas-luasnya bagi hambaNya yang memohon keampunan
serta menginsafi diri di setiap detik di dalam bulan Ramadhan.
Dari Abu Hurairah telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan berdasarkan
iman dan penuh kesedaran mengharapkan Allah maka diampuni dosa-dosa yang
terdahulu sebagaimana hari dilahirkan oleh ibunya.” ( HR Ibnu Khuzaimah)
Dhod – adalah Dhoman ( Jaminan)
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diberikan jaminan oleh Allah SWT
sebagai bulan yang akan memberikan seribu kebaikan dan ganjaran Syurga
bagi sesiapa yang menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya. Jaminan
ini adalah jaminan yang tiada tandingannya berbanding bulan-bulan yang
lain.
Alif – adalah Amana
Bulan Ramadhan adalah bulan keamanan, ketenangan dan kebahagiaan.
Hati dan jiwa kita benar-benar tenang dengan kehadiran dan perasaan
nyaman serta tenteram selalu menyelubungi sanubari kita sepanjang berada
di dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Inilah kehebatan dan keunikan
Ramadhan.
Nun – adalah Nur
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sentiasa dilimpahi dengan cahaya
hidayah dan keimanan daripada Allah SWT. Bagi yang mencintai dan
merindui kehadiran bulan yang penuh kerahmatan ini, akan menyedarikan
bahawa sinar Ramadhan adalah sinar yang terang benderang memberi
pengharapan dan kekuatan kepada jiwa untuk berusaha bersungguh-sungguh
bagi melahirkan seorang mukmin muslim yang bertaqwa dalam erti kata yang
sebenarnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Pada bulan Ramadhan diturunkan kitab suci Al-Quran sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu,
dan garis pemisah antara hak dan yang batil.” [ Al- Baqarah (2) : 185]
Jika bulan Ramadhan datang, Rasulullah SAW biasanya menyambut dengan ucapan :
“ Selamat Datang Wahai orang yang menyucikan.”
Para sahabat bertanya :
“ Siapakah orang yang menyucikan itu wahai Rasulullah ?”
Baginda menjawab :
“ Orang yang menyucikan itu ialah bulan Ramadhan. Ia menyucikan kita daripada segala dosa dan maksiat!.”
Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun sebelumnya. Dan ianya lebih bermakna buat semua. InsyaAllah.
Perkongsian yg menarik
BalasPadam