Ahad, 7 September 2014

Koleksi Petua Memasak


1.Ikan Garing dan Tidak Melekat
-Masukkan sekeping asam gelugur ketika menggoreng ikan. Ikan tersebut tidak melekat dan cepat garing.

2.Ikan Goreng Tidak Hanyir
-Sebelum menggoreng, taburkan serbuk kunyit pada minyak yang telah dipanaskan. Kemudian masukkan ikan, gaulkan dengan garam. Goreng ikan seperti biasa. Ikan tidak  hanyir walaupun telah sejuk.
atau
-Campurkan sedikit serbuk kunyit, bawang putih serta garam. Lumurkan rata-rata pada ikan dan perapkan beberapa minit. Seterusnya goreng ikan seperti biasa.

3.Menghilangkan Rasa Masin dalam Gulai
-Untuk menghilangkan rasa masin,  ambil hampas kelapa yang anda telah gunakan dan masukkan ke dalam kain dan ikat kuat-kuat. Kemudian, masukkan hampas yang berikat tersebut ke dalam periuk yang berisi gulai, Biarkan beberapa minit sebelum diangkat.

4.Cara Memasak Air dengan Cepat
-Untuk memasak air dengan lebih cepat, masukkan satu sudu besi bersih yang kecil di dalam cerek bersama air. Kemudian masak. Air anda akan masak dengan lebih cepat.

5.Mengelak Daripada Nasi Mentah
-Sekiranya nasi yang anda masak mentah, jangan padamkan api. Buka penutup periuk dan tutup dengan plastik, Kemudian tutup semula dengan tutup periuk. Tunggu selama 6 minit, Nasi akan masak.

6.Untuk Mempercepatkan Kacang Hijau yang Direbus Kembang
-Untuk mencepatkan kacang hijau yang direbus kembang, masukkan 1 atau 2 sudu minyak masak ke dalam rebusan kacang tersebut dan lihatlah hasilnya. Anda tidak perlu tunggu lama untuk kacang tersebut kembang.

7.Nasi Lemak Cepat Masak
-Jika ingin nasi lemak cepat masak, masukkan sebatang garpu atau sudu ke dalam periuk nasi yang bakal di masak. Biarkan di dalam beras sehingga nasi masak.

8.Jika Nasi Hangit
-Biasanya kita memasak nasi menggunakan periuk elektrik. Namun ada ketikanya cara lama juga digunakan. Untuk mengatasi masalah nasi hangit, ambil segelas air dan masukkan gelas yang berisi air tersebut ke dalam periuk nasi. Biarkan selama 10 minit. Kemudian angkat gelas.

9.Merangupkan ayam goreng
-Selalunya ayam yang digoreng tidak rangup setelah lama diangkat dari kuali. Untuk mengekalkan kerangupan ayam goreng cuba masukkan sebiji telur ayam ketika mengaul ayam bersama garam dan kunyit. Setelah itu gorenglah ayam seperti biasa.

10.Menyedapkan Sambal Sotong
-Adalah elok jika sotong yang hendak kita buat sambal itu, kita celur di dalam air yang menggelegak kira-kira 3 minit supaya sambal sotong itu nanti tidak terlalu banyak kuahnya. Bila masukkan sotong ke dalam ramuan tumisan sambal janganlah masak terlalu lama kerana sotong tadi telah kira celur terlebih dahulu.

11.Melembutkan Donat
-Untuk melembutkan donat, campurkan 2 atau 3 biji ubi kentang yang telah dilenyekkan ke dalam tepung bancuhan. Donat akan menjadi lembut dan sedap rasanya walaupun sudah sejuk.

12.Elak ikan goreng melekat pada kuali
-Semasa memanaskan minyak dalam kuali, bubuhkan sedikit garam pada minyak tersebut sebelum masukkan ikan.

13.Memekatkan Kuah
-Untuk memekatkan kuah, masukkan ubi kentang ke dalam masakan tersebut.

14.Memekatkan Sup
-Untuk memekatkan sup, masukkan sedikit kentang rebus yang dilecek.

15.Menggoreng Ikan
-Untuk mengelakkan ikan melekat di kuali ketika menggoreng, sebelum masukkan ikan, panaskan minyak bersama 2 atau 3 keping asam gelugor atau asam keping. Setelah panas barulah dimasukkan ikan. Terpulang sama ada ingin turut menggoreng ikan bersama asam keping tersebut kerana ianya tidak menjejaskan rasa ikan yang digoreng.

16.Merasa Garam dalam Masakan
-Caranya ialah dengan meletakkan kuah di atas jari anda. Jika kuah itu tidak meleleh, ini menandakan masakan anda itu cukup masinnya. Tetapi jika jari anda terasa perit, bermakna masakan anda itu terlebih garamnya.

17.Menjernihkan Minyak Masak
-Minyak masak yang sudah digunakan akan menjadi keruh warnanya. Untuk menjernihkannya, goreng kerak nasi di dalam minyak tersebut, Pasti minyak itu akan menjadi jernih semula.

18.Ayam Goreng Lebih Sedap
-Untuk memastikan ayam goreng lebih sedap dan berbau wangi, tumbukkan 3 ulas bawang putih untuk 1/2 ekor ayam. Gaul dengan garam kunyit. Lumurkan pada ayam yang hendak digoreng. Goreng sampai benar-benar garing dan angkat.

19.Nasi Tidak Berbau Hangit
-Sekiranya anda memasak nasi tanpa menggunakan periuk nasi elektrik, kemungkinan masalah nasi berbau hangit akan berlaku. Bagi mengatasi masalah ini, basuh setangkai cili kering dan masukkan ke dalam periuk nasi panas berkenaan. Tutup periuk tersebut untuk beberapa minit sebelum nasi dihidangkan. Bau hangit akan hilang.

20.Kuali Melekat
-Sebelum menggoreng, masukkan sekeping asam keping ke dalam kuali setelah minyak dipanaskan. Kuali anda tidak akan melekat. Juga, kuali baru hendaklah selalu digunakan untuk menumis atau menggoreng.

21.Merangupkan Cucur
-Tambahkan majerin dan air kapur bersama tepung beras. Cucur anda akan menjadi rangup dan menyelerakan.

22.Menghilangkan Bau Cili Semasa Memasak
-Bau cili amat menusuk hidung jika dimasak, kadang-kadang ia boleh memedihkan hidung anda. Untuk menggelakkannya daripada berbau, masukkan sehelai atau dua helai daun kari ke dalam masakan anda, Bau yang memedihkan akan hilang selepas beberapa saat anda memasukkan daun kari.

23.Pekatkan Kuah
-Untuk memastikan makanan menjadi likat, tambahkan samaada gula atau keledek yang telah dilenyek ataupun sedikit tepung gandum. Kacau dan kecilkan api agar ia menjadi pekat dan tidak lagi cair. Untuk memekatkan kuah, bancuh 2 sudu besar tepung jagung dan masukkan ke dalam masakan dan kacau hingga rata. Tepung jagung juga boleh mengurangkan rasa masin masakan.

24.Elakkan Tauhu daripada Melekat
-Taburkan sedikit garam halus di permukaan atas dan bawah tauhu sebelum menggoreng. Tauhu tidak akan melekat dan hancur, ketika digoreng.

25.Memasak Ketupat
-Semasa merebus ketupat, tutup periuk dan letakkan pemberat pada penutup periuk berkenaan. Ini untuk mengelakkan ketupat daripada terapung di permukaan. Perhatikan selalu air rebusan ketupat, tambahkan jika air mulai berkurangan. Tambahkan dengan air panas. Tukarkan ketupat di bahagian atas dengan bahagian bawah dan sebaliknya, sehingga ketupat selalu terendam dalam air rebusan dan masak dengan sempura. Ketupat akan jadi padat, sedap dan lembut isinya.

26.Sambal Menjadi Lazat
-Sambal yang sedap haruslah mengunakan cili kering. Cili kering digunting kecil-kecil bagi membuang bijinya dan rebus seketika. Apabila sudah direbus cili tersebut, toskan selama 20 minit. Kemudian gorengkan cili kering di dalam minyak yang panas dalam masa 10 minit. Jangan terlalu garing. Apabila sejuk, mesinkan cili bersama minyak yang digoreng tadi, dan simpan di dalam peti ais. Ia akan tahan selama 3 minggu. Jika anda ingin menumis sebarang sambal, ia tidak memerlukan minyak dan masa yang banyak.

0 comments:

Catat Ulasan